Sunday, 16 October 2011

rumah pokok (episod 3) - karya sendiri =)



RUMAH POKOK
[episod 3]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”




Aku tak suka dia… menggedik! 
   
                Farah  menulis coretannya di dalam salah satu muka surat FIFI. Dia meluahkan rasa geramnya. Entah kenapa dia memang tidak senang dengan kehadiran Yasmin di situ. Dia dapat rasakan, bahawa Raizal akan jarang ke rumahnya untuk bermain bersama atau mungkin saja Raizal tidak akan datang ke rumah pokok ini lagi. Apa yang pasti, dia sangat geram saat ini. Atas sebab apa dia perlu berasa geram, dia pun tak tahu. Apakah mungkin dia sudah mula menyukai Raizal? Oleh sebab itu dia berasa geram tatkala melihat Raizal dan Yasmin saling bersenyuman. Penyakit CEMBURUkah itu?.

                Kedengaran suara tawa riang Raizal dari bawah. Farah  berasa pelik. Raizal bermain dengan siapa? Dia pergi menjenguk kepalanya ke tingkap rumah pokok bagi memastikan dengan siapakah Raizal bergelak sakan.

                “Yasmin… kat sinilah tempat saya selalu bermain. Kat atas sana ada rumah pokok, kalau nak tengok jomlah! Kita panjat kat pokok tu…” ujar Raizal sambil menunding jari ke arah pokok yang menampung rumah pokoknya selama ini.

                “Saya awak??! Hamboii!! Dengan aku elok pula berkau-aku,” ujar Farah  sendirian. Dia kembali duduk, memikirkan kata-kata Raizal. Geram benar melihat layanan Raizal terhadap Yasmin. Mahu saja dia mencari akal untuk tidak membenarkan Yasmin masuk ke rumah pokok mereka tapi agak terlewat. Raizal dan Yasmin telah pun memanjat pokok untuk masuk ke dalam rumah pokok tersebut. Apabila mereka masuk ke dalam, mereka terkejut melihat Farah  di situ. Farah  sedang duduk di lantai. Dia  memandang mereka berdua dengan tangannya yang memegang FIFI.

                “Eh, kau di sini?” soal Raizal. Dia memandang Farah .

                “Ni ke kawan awak tu, Raizal? Hai! Saya Engku Yasmin. Panggil saja Yasmin,” ujar Yasmin sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Bibirnya merekah dengan senyuman.

                Farah  lantas bangun lalu menghempas FIFI ke lantai. Dia menghampiri Yasmin lantas berkata, “Aku Tengku Farah .” Lantas dia terus turun dari rumah pokok tersebut tanpa menghiraukan tangan yang dihulur Yasmin
               
                 "Masa bila nama kau ada 'Tengku' ha, Farah?" soal Raizal.

                 Farah tidak mengendahkan mereka berdua. Dia terus turun dari rumah pokoknya. 
              
                “Kenapa dengan dia? Dia tak suka saya datang sini ke?” soal Yasmin.

                “Eh, tak adalah. Dia gaduh dengan mak dia tu…” ujar Raizal. Selamba.

                Di bawah rumah pokok, Farah  terdengar sembang-borak Raizal dan Yasmin. Dia mendengar Yasmin bertanyakan soal FIFI. Raizal pula dengan senang hati memberi keizinan untuk Yasmin membaca dan melihat seluruh isinya. Pedih rasanya hati Farah .

                “Raizal…. Kau dah lupa janji kau, Raizal. FIFI hanya untuk kita saja,” jerih hati Farah.

                Tatkala dia mendengar hilai tawa Raizal dan Yasmin, perasaan geramnya membuak-buak. Dia menutup telinga lantas berlari pulang ke rumah dengan linangan air mata yang mengalir.

No comments:

Post a Comment