RUMAH POKOK
[episod 2]
[episod 2]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”
Pagi itu terasa nyaman sekali. Udara kampung segar menghembus. Raizal mengayuh basikalnya ke rumah Farah untuk diajak bermain bersama. Kini mereka sudah menjangkau ke usia sepuluh tahun. Raizal juga sudah pandai membaca serta menulis. Kerja sekolah mereka pun selalu disiapkan bersama.
Ketika sedang dia mengayuh basikal di pinggir sawah padi yang menguning, Raizal berselisih dengan sebuah lori diikuti dengan kereta berjenama Volvo. Di dalam kereta itu kelihatan seorang lelaki yang umurnya lebih kurang 30-an sedang membaca surat khabar di tempat duduk belakang.
Tanpa disangka-sangka, kereta tersebut tersangkut di dalam lecak. Enjinnya masih hidup tapi kereta itu tidak dapat bergerak. Tayarnya tenggelam di dalam selut. Seorang pemandu keluar daripada kereta tersebut. Raizal yang sedang mengayuh basikal itu dipanggilnya.
Raizal berpatah balik.
“Adik tahu di mana rumah Pak Sudin?” soal Pak Rahman.
“Tahu pakcik… rumah batu itu kan? Rumah tu jauh ke dalam lagi pakcik,” terang Raizal.
Seorang lelaki yang tadinya membaca surat khabar di dalam kereta berkenaan membuka pintu lalu keluar.
“Kenapa Pak Man? Rosakkah?” soal Engku Zaquan.
“Tidak, Engku. Cuma tersangkut di dalam selut saja. Kita kena tolak kereta ni beramai-ramai, baru boleh keluar dari selut ini,” balas Pak Rahman.
“Oh.. Kalau macam tu, biar saya panggilkan ayah kawan saya untuk tolong sekali. Rumah dia tak jauh. Di hujung sawah ini saja,” balas Raizal.
“Ya.. bagus! Pergi minta tolong pada dia ya!” ujar Engku Zaquan. Hatinya tersenyum lega.
Raizal mengayuh basikal secepat mungkin dan memanggil bapa Farah, Pak Saad. Pak Saad yang mendengar Raizal meminta bantuan itu terus datang membantu. Farah juga turut ikut serta.
Setiba di kereta Volvo yang tersangkut tadi, Pak Saad bersalaman dengan Engku Zaquan. Mereka berkenalan sebentar. Engku Zaquan mengatakan yang dia bersama anaknya baru sahaja berpindah ke kampung ini bagi memenuhi wasiat arwah ayahnya untuk mempertuankan banglo mereka yang selama ini dijaga oleh Pak Sudin, salah seorang penduduk kampung itu juga.
Engku Zaquan pergi membuka pintu keretanya. Farah melihat dia seperti bercakap dengan seseorang di dalam kereta tapi tidak diketahuinya siapa. Tidak lama kemudian, seorang anak gadis bergaun putih keluar dari perut kereta. Rambutnya ditocangkan dengan reben berpokodot merah putih. Ditangannya pula ada seekor anak patung beruang berwarna coklat cerah.
Raizal juga turut melihat anak gadis yang hampir seusia dengannya itu. Dirinya terpaku. Anak gadis itu menguntum senyuman. “Comelnya dia…” bisik hati Raizal. Dia juga tersenyum melihat gadis secomel itu.
Farah hanya memerhatikan mereka berdua. Dia seakan-akan dapat menghidu bunga-bunga cinta yang mekar dan berterbangan di sana-sini. Ada bait-bait cemburu di hatinya. “Gedik…!” gumal hati Farah . Menyampah dia melihat anak Engku Zaquan itu.
“Kenalkan… ni satu-satunya anak saya, Engku Yasmin,” ujar Engku Zaquan. Yasmin tersenyum sambil memeluk erat anak patung beruangnya sambil memandang Raizal.
No comments:
Post a Comment