RUMAH POKOK
[episod 9]
[episod 9]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”
Yasmin memanjat rumah pokok. Dia mencari Farah dari pagi tadi tapi masih tidak ketemu. Mungkin saja Farah berada di dalam rumah pokok itu. Ada sesuatu yang perlu dia cakapkan pada Farah . Mujur Farah juga ada di dalam rumah pokok tersebut. Dia sedang leka membaca FIFI. Kehadiran Yasmin langsung tidak dia sedari.
“Farah , aku ada sesuatu nak diperbincangkan,” ujar Yasmin.
Farah menutup FIFI. Dia memandang wajah Yasmin. “Apa dia?”
“Kenapa kau datang kampung ni balik?” soal Yasmin.
“Apa maksud kau, Min?” soal Farah kembali. Dia tidak selesa dengan nada Yasmin yang seolah-olah tidak menyukai kehadirannya.
“Kau tak payah nak sembunyikan semuanya dari aku, Farah ! Aku dah tahu semuanya! Semuanya tentang sakit kau!!” jerit Yasmin. Matanya berair.
“Apa yang kau melalut ni, Yasmin?” soal Farah . Dia berlagak selamba.
“Aku melalut?! Aku melalut ke engkau yang melalut hah? Kenapa kau hadirkan juga diri kau dalam hidup Raizal sedangkan kau tahu yang kau tak dapat bertahan lama?! Kau tahu tak Raizal tu bagai nak rak, menanti kau datang, setiap hari doanya tak putus, nakkan kau datang jumpa dia kat sini!” marah Yasmin. Air matanya berguguran.
“Mana kau dapat tahu tentang sakit aku?” soal Farah
“Kau tak perlu tahu tu! Apa yang kau perlu tahu ialah kesungguhan Raizal menanti kau selama ni!” Yasmin menuju ke satu sudut yang menggantungkan sebuah peti surat yang diperbuat daripada kayu. Ada nama Farah tertera pada peti surat tersebut. Yasmin mengeluarkan semua surat-surat di dalamnya. Kemudian dia mencampakkan satu persatu surat tersebut ke arah Farah.
“Nah!! Ambil ni semua. Setiap hari Raizal tidak lupa mengutus surat kat kau, tapi dia tak tahu nak hantar pada siapa. Dia langsung tak tahu apa alamat kau. Dia simpan semua surat ni dalam peti tu! Dan engkau? Kau tahu alamat dia, tapi ada kau datang jumpa dia selama 16 tahun ni? Kau sepatutnya datang dah lama dah, bukan sekarang! Bukan pada sisa masa engkau yang tinggal! Lebih baik dia tak jumpa kau dalam keadaan kau yang sakit macam ni. Kehadiran kau akan mengguriskan lagi hati Raizal. Kau ingat dia bersedia ke akan kehilangan kau buat kali kedua? Kehilangan kau buat pertama kali dalam diri dia sudah cukup membuatkan diri dia ternanti-nanti,” ujar Yasmin. Dia sungguh beremosi ketika itu.
Farah tersenyum. Dia memandang keluar tingkap. “Kau tak rasa apa yang aku rasa, Yasmin. Cukup sampai di sini… aku tak nak gaduh,” ujar Farah .
“Aku tak ajak kau gaduh, Farah . Aku cuma nak penjelasan dari engkau! Kenapa kau datang di saat akhir hidup kau? Kau tahu… Raizal itu sukakan engkau! Sayangkan kau! Kau seolah-olah memberi harapan pada Raizal sedangkan kau sendiri tak mampu membalas harapan tu,” balas Yasmin.
“Senanglah kau kata macam tu sebab kau tak merasainya sendiri Yasmin. Kau nak penjelasan kan? Nah!! Sebelum aku datang sini, aku langsung tak berharap nak jumpa sesiapa pun. Aku cuma nak pergi merasai kembali zaman kanak-kanak aku di akhir umur aku ni! Aku teringin benar melihat rumah pokok aku buat kali terakhir. Semua yang ada pada aku sudah tak bermakna lagi selepas ni. Aku tak memberikan apa-apa harapan pada Raizal sebab aku tahu, seorang peghidap barah otak macam aku ni tak layak nak menerima cinta orang yang sihat macam dia!”
“Salah ke aku datang kat kampung halaman aku sendiri sebelum aku dah tak ada lagi di dunia, Yasmin?” sambung Farah . Mukanya tidak ada langsung riak sedih tapi air matanya mengalir deras. Dia duduk bersandar di tepi dinding.
“Kau sukakan Raizal?” soal Yasmin.
“Tak.. aku tak perlu mencintai dan tak perlu dicintai oleh sesiapa. Hidup aku, biar aku saja yang meneruskannya selagi ada waktu,” balas Farah .
Yasmin menoleh ke belakang. Tidak mahu dia melihat Farah . “Kau egois! Kau langsung tak memikirkan perasaan orang lain. Bagi kau hidup kau ni tak relate dengan kehidupan orang lain,” ujar Yasmin. Dia memandang Farah semula. Farah kelihatan terduduk lesu di tepi dinding. Matanya terpejam rapat. Yasmin mendekati Farah .
“Farah ??” ujar Yasmin.
Farah tidak menyahut mahupun bergerak. Yasmin menepuk-nepuk muka Farah.
“Farah ??!”
No comments:
Post a Comment