RUMAH POKOK
[episod 10]
[episod 10]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”
Suasana di hospital pada ketika itu agak senggang daripada biasa. Raizal terus berjalan menuju ke wad Farah yang terletak di tingkat dua bersama Mak Sapiah. Dia tidak terkata-kata semasa mendapat berita bahawa Farah dimasukkan ke hospital. Jantungnya berdetak laju. Hatinya berdoa moga tidak terjadi apa-apa yang buruk pada Farah .
Kelihatan Farah terbaring lesu di katilnya. Bibir Farah pucat. Rupanya memang seperti orang sakit. Sudah hilang langsung keceriaan Farah selama ini pada raut wajahnya.
Yasmin yang berada di sisi Farah itu bersalaman dengan Makcik Sapiah. Matanya berair. Masih ditunggu laporan selanjutnya daripada Taufiq namun masih belum tiba jua. Raizal yang berkaca mata itu sudah melabuhkan duduknya bersebelahan dengan Farah . Wajah Farah ditatapnya.
Segala memori dirinya dan Farah menari-nari di mindanya. Memori di rumah pokok, berlari-lari di lereng bukit, gelak dan tawa mereka serta kenangan melihat kelip-kelip…. Semuanya!
Taufiq masuk ke dalam bilik rawatan. Dia bersalaman dengan Raizal. Dia kemudian menarik Raizal jauh daripada Mak Sapiah, Yasmin dan juga Farah .
“Aku tak tahu nak cakap apa, Raizal. Tumor dia semakin membesar dan menular. Kalau nak buat pembedahan, terlalu berisiko! Kita tak boleh senang-senang nak bedah kepala sebab kepala ni berkait rapat dengan otak. Keadaan dia sangat kritikal sampai boleh koma macam ni. Kita memang tak boleh buat apa-apa lagi. Satu-satunya usaha mujarab yang boleh kita lakukan hanyalah doa. Kalau dulu benda ni dapat detect awal, insyaAllah tak ada apa-apa masalah. Tapi, malangnya Farah terlewat untuk membuat pemeriksaan doktor dulu,” terang Taufiq.
“Tapi Taufiq, sebelum ni aku tengok dia sihat saja. Tak ada langsung nampak macam orang sakit,” balas Raizal.
“Itulah dia sekarang ni Raizal. Dia sentiasa mahu jadi seperti kita semua. Dia tak suka memikirkan sangat perihal sakitnya. Dia pernah lari dari hospital dahulu sebab tak suka diperlakukan seperti orang sakit. Dia suka dilayan sebagaimana kita melayan orang normal,” jelas Taufiq.
“Kau jangan risau Raizal. Dalam kondisi koma begini aku yakin, yang koma hanyalah jasadnya saja, bukan mindanya. Dia dapat mendengar kata-kata kita. Kau bisikkanlah kata-kata semangat pada dia. Aku yakin dia akan mendengarnya dan ini serba sedikit meransang mindanya untuk sembuh,” ujar Taufiq lagi. Dia berlalu pergi.
Raizal terduduk. Dia tak sangka cepat betul semuanya berlaku. Dahulu Farah pernah meninggalkannya sekali, kini dia tidak sanggup untuk melepaskan Farah pergi. Dia menangis sendiri. Kenapa begitu pantas tempoh Farah dipinjamkan kepadanya? Kenapa semua berlaku dengan tanpa disangka-sangka?
No comments:
Post a Comment