Sunday, 16 October 2011

rumah pokok (episod 6) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 6]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”

Raizal mengayuh basikalnya. Cuaca agak mendung tengah hari itu. Mungkin sebentar lagi hujan akan turun. Tiba di rumah Farah, Raizal pelik melihat pintu dan tingkapnya tertutup rapat. “Ai.. pergi pekan ke? Tak ajak pun,” soal Raizal sendirian.

Dia mengetuk pintu dan memberi salam berkali-kali. Tiada siapa yang menjawab salam tersebut. Dilihatnya selipar Farah, juga tiada! Selalunya, ada banyak selipar di bawah tangga rumah Farah walaupun Farah  duduk bertiga saja dengan orang tuanya. Kain pun tidak ada yang dijemur. Pelik! Raizal terus mengambil basikalnya untuk ke rumah pokok.

*______________________________*
  
 Di rumah pokok, Yasmin sedang membaca isi FIFI. Ada coretan yang baru ditulis kelmarin. Kebetulan pada ketika itu, Raizal baru saja tiba. Yasmin memanggil Raizal untuk membaca coretan Farah  bersama-sama.

Mungkin ini coretan terakhir aku, FIFI. Lepas ni mungkin aku tak akan dapat jumpa kau lagi. Sedih betul bila aku dapat tahu yang aku kena tinggalkan kampung ni. Aku kena ikut ayah aku berpindah ke Johor. Aku kena tinggalkan kau FIFI–diari yang paling aku sayang, rumah pokok ni dan Raizal sekali. Apa yang boleh aku bawa bersama hanyalah kenangan aku dengan Raizal selama ini, walaupun dia sudah tak anggap aku sebagai kawan dia lagi. Aku tak nak tulis panjang-panjang kat kau, FIFI. Cukuplah kenangan aku dengan Raizal saja dicoretkan di dalam kau. Kalau Raizal baca coretan aku ni, kau bagi tahu kat dia yang aku... aku nak pindah..
terima kasih sebab sudi berkawan dengan aku..

“Farah  pindah?!!” ujar Raizal.


Dia sudah tidak keruan. Dia terus turun dari rumah pokoknya dan mencapai basikal lalu memecut laju ke rumah Farah .
     
“Raizal!!! Awak nak ke mana?” jerit Yasmin dari tingkap rumah pondok. Tapi jeritannya tidak Raizal endahkan.

Raizal sedaya upaya memecut laju basikalnya ke rumah Farah. Cuaca mendung bertukar menjadi gelap. Guruh mula berdentum di sebalik bukit-bukau. Namun, itu semua tidak Raizal hiraukan. Kayuhannya diperlajukan lagi.

Setiba di halaman rumah Farah, Raizal mengetuk-ngetuk rumah papan tersebut. Dia mula sebak. Nama Farah  dipanggil bertalu-talu.

 "Farraahh!! Farrahh!! Bukak pintu ni Farah! Aku tahu kau kat dalam..!"

 Namun, tiada sahutan kerana Farah  sudah berpindah semalam.

 Hujan mula turun dengan lebatnya. Dia mencari kalau-kalau Farah  ada meninggalakan sesuatu untuknya di celah-celah pintu, tingkap, pasu bunga, peti surat atau apa saja di sekeliling rumah Farah. Raizal kebasahan. Hujan yang lebat itu turun mencurah-curah membasahi Raizal yang masih berusaha mencari sesuatu yang tidak pasti kewujudannya.

Akhirnya, Raizal mengalah. Dia terduduk di halaman rumah Farah . Rumput di hadapannya dicariknya geram. “FARAAAHH…!!!” jerit Raizal sekuat hati. Dia teresak tangis di dalam hujan yang lebat. 

No comments:

Post a Comment