Sunday, 16 October 2011

rumah pokok (episod 5) - karya sendiri =)

RUMAH POKOK
[episod 5]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”

“Assalamualaikum makcik…  Raizal ada tak?” soal Farah. Dia kepingin benar berjumpa dengan Raizal saat itu untuk memberitahu bahawa esok dia akan berpindah ke Johor.

Makcik Sapiah menoleh ke arah Farah. “Tak adalah, Farah . Dia ikut Yasmin pergi mandi sungai rasanya. Petang nanti baliklah kot. Eh, Farah  tak ikut sekali dia orang berdua ke?” soal Makcik Sapiah. Dia sibuk mengangkit kain dari jemuran.

“Oh..  A’ah.. Farah  lupa pula semalam Raizal ada ajak pergi sekali. Hahaha.. Farah  sibuk sikitlah makcik, sebab tu tak dapat ikut. Hmm.. tak apalah makcik, Farah  balik dulu ya,” ujar Farah . Sopan. Selangkah dia pergi, berjujuran air matanya melimpah keluar. Tidak terasa pula dia hendak pulang terus ke rumah. Bukan lagi masanya untuk pulang sekarang. Ini adalah masa untuk pergi ke rumah pokoknya. Esok dia pasti tidak akan sempat untuk ke rumah pokoknya lagi.

*__________________________*

Makcik Sapiah sedang sibuk mengupas bawang di dapur. Matanya memandang ke arah Raizal yang sedang berjalan ke arahnya. “Raizal… mak lupa nak cakap, semalam Farah  ada datang sini, cari kau.”

Raizal duduk di hadapan emaknya sambil meneguk segelas air. “Lepas tu?” soal Raizal.

“Mak cakaplah yang kau ikut Yasmin pergi mandi sungai.”

“Lepas tu dia cakap apa?”                                            

“Dia kata dia terlupa pula yang kau ada ajak dia sekali kelmarin.”

“Ajak?? Mana ada Raizal ajak dia.”

“Tak ajak??! Tapi dia cakap dengan mak yang kau ada ajak dia sekali.”

“Tak.. mana ada Raizal ajak. Jumpa pun tak.”

“Ai.. teruk punya budak! Kau tak ajak dia sekali? Padanlah semacam je mak tengok dia. Kau ni memang tak ada langsung nilai persahabatanlah dalam diri kau ya,” bebel Makcik Sapiah.

“Asal Raizal pula yang teruk?”

“Ya lah.. semenjak budak Yasmin tu datang, mak tengok sudah jarang benar kau tu bermain dengan Farah. Kau selalu bermain dengan si Yasmin tu je. Farah  pula mak nampak main basikal sorang-sorang sekarang ni. Tak baik kau buat dia macam tu. Mesti dia terasa. Jumpa kawan baru, tinggal kawan lama! Esok mak nak kau jumpa dia, pergi minta maaf!”

No comments:

Post a Comment