Saturday 29 October 2011

apabila problems datang melanda...

Assalamualaikum..

hai.. rasa macam lama je dah tak bukak blog nih..
hmm.. semenjak dua menjak ni aku ada probs sikit rr...
aku rasa tak payahlah ek aku cerita pasal probs aku kat sini...
i'm not the person that likes to tell much about my problems to anyone...
mungkin hanya certain2 orang je yang aku rasa selesa untuk berkongsi probs..
tak semua..

ok.. no need to worry..!
insyaallah aku akan cari the best solution untuk selesaikan masalah ni..
aku lagi suka tidur untuk tenangkan diri sendiri...

hmm.. okey!
topik lain please!!!

hari tu syima and fairus ada datang rumah aku..
hahhaaa..
aku suka sangat!!
yang paling best, kami naik motor BERTIGA untuk pergi tesco..
buat apa pergi tesco??
pergi makanlah... apa lagi...
hahahhaha


haaa... sebijik lah maca ni..
yang bestnya, aku dok depan sekali sebab aku bawak motor..
syima tetengah sebab dia kecik...
fairus belakang sekali...
hahhahhaha... 
memang 3 IDIOTS...

ada banyak gambar kami tangkap..
tapi aku tak nak upload either kat sini atau fb..
sebab aku nak upload video yang dah aku sumbatkan segala gambar kami  bertiga
sepanjang syima and fairus kat blog aku ni...
hahhaha...

but what to do..
hahahha...
size video tu bosar lah mak ai...
91.6 MB...
dari subuh sampai subuh esoknya still tak dapek nak upload..
goram eden dibuatnyo...
addooii....

pape pon aku akan tetap upload kan jugak video tu..
tapi lambat sikit lah ek!
okey!! wasalam

Sunday 16 October 2011

rumah pokok (episod terakhir) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod terakhir]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”


Raizal duduk berhampiran Farah  yang sedang terbaring lena di atas katil wad. Kedua ibu bapanya sudah dimaklumkan kondisinya yang koma itu. Mereka akan terbang ke Malaysia pada jam seawal satu pagi nanti.

“Farah …. Kalau kau masih ingat masa kita kecil-kecil dahulu, aku selalu kacau kau,” bisik Raizal di telinga Farah.

Sepi.                                                 

“Kau ingat lagi gambar mangga masam tu? Aku masih simpan gambar tu sampai sekarang,” sambungnya lagi. Raizal seolah-olah bercakap sendirian kerana setiap kata-katanya tiada sahutan. Hanya mesin pengesan nadi sahaja yang berbunyi. Tuut . Tuut . Tuut

Dia menatap wajah Farah  yang menggunakan tabung oksigen. Rambutnya disarungkan plastik berwara biru. Khas untuk rawatan hospital. “Kau ingat lagi masa tengok kelip-kelip tu? Aku memang serius masa tu. Memang dah lama aku tunggu kau datang. Aku masih menungg jawapan dari engkau,” ujar Raizal.

“Aku sayangkan kau, Farah ,” luah Raizal.

“Lebih dari seorang kawan,” sambungnya lagi.

Kelihatan sebutir air mata mengalir dari mata Farah  yang terpejam rapat. Farah  dapat mendengar kata-kata Raizal. Itu adalah refleksi yang diterima Farah. Raizal mula tersenyum gembira. Hatinya berbunga-bunga. Harapan dia untuk Farah terjaga  menggungung tinggi.

“Kau dapat dengar aku kan, Farah ? Aku nak kau sembuh, lawan penyakit kau. Jangan mengalah,” ujar Raizal. Dia memberikan kata-kata semangat pada Farah .

“Aku sayangkan kau. Aku tak nak kau tinggalkan aku lagi,” ujar Raizal.

Titik-titiik jernih itu mengalir lagi. Raizal tersenyum lagi. Baginya itu petanda baik.

Sesaat kemudian, Raizal melihat dada Farah  berombak. Dia seolah-olah menarik nafas sedalam-salamnya. Raizal lantas berdiri. Dia kalut sebentar. Ditekannya punat kecemasan dengan menjerit, “Nurse!! Doktor!!”

Beberapa jururawat diikuti seorang doktor tiba dalam keadaan tergesa-gesa. Mesin pengesan nadi berbunyi nyaring. “Teeeeeeeeeetttttttttttttttttt”

“Maaf encik, sila tunggu di luar,” kata salah seorang jururawat di situ sementara kakitangan yang lain sedang sibuk mengggunakan perentak jantung pada Farah .

Raizal tiada pilihan lain selain tunggu di luar. Berat kakinya melangkah meninggalkan Farah . Hatiya bercelaru. Matanya merah. Dia tidak keruan. Duduk tak kena, berdiri pun tak kena. Rambutnya dicengkam erat. Bagai mahu putus rambutnya dicengkam sedemikian rupa. Doa di hatinya tidak putus. Moga-moga saja tidak terjadi perkara buruk pada Farah .

Doktor yang merawat Farah  sebentar tadi keluar dari bilik Farah . Dia menegur Raizal yang sedang duduk mencangkung di penjuru dinding dengan mata kemerah-merahan. Kondisi Raizal memang tidak begitu stabil buat masa itu. Bercelaru. Kerisauan.

“Awak suami pesakit?” soal Doktor Krishna.

Raizal lantas berdiri. “Macam mana keadaan dia doktor??” soal Raizal. Pertanyaan Doktor Krishna tidak dijawabnya.

“Saya sudah buat apa yang termampu, encik. Saya minta maaf, isteri encik tidak dapat diselamatkan,” ujar Doktor Krishna sambil memegang bahu Raizal.

Raizal terus terduduk di lantai. Dia memeluk erat kakinya dengan air mata berjujuran. Nama Farah  tidak terhenti daripada disebut bibirnya. Segalanya ketentuan llahi. Agak perit untuk dia menerimanya! Bayangan memori dia dan Farah  ketika mereka masih kecil terimbas satu persatu. Bermain di lereng bukit, makan mangga masam, berbaring di atas rumput sambil memegang bunga dan senda tawa mereka di rumah pokok. Kesemuanya! Terimbas satu persatu. Tidak disangka Raizal, kawan sepermainannya itu dijemput llahi terlebih dahulu.



 
                                    *________________________________*





3 tahun kemudian…..

Di bawah rumah pokok itu, Raizal termenung sepi. Melihat Natasya bermain bersama kawannya yang lain. Tapi fikirannya melayang.

“Usahlah dikenang si dia….” ujar Yasmin. Dia melabuhkan duduknya bersebelahan dengan Raizal.

Raizal tetap memandang ke depan. Tiada langsung tindak balas ditunjuk.

“Kita yang hidup, mesti diteruskan. Dah tiga tahun, Raizal. Kau pun sudah meningkat umurnya. Takkan tak mahu berumah tangga,” ujar Yasmin.

Raizal menggeleng. “Setia aku hanya pada dia,” balas Raizal.

“Kau tak boleh macam ni. Melarat nanti,” nasihat Yasmin.

Raizal bangun. Dia terus naik ke rumah pokoknya. Dia membuka FIFI. Ada coretan tiga tahun lepas dibuat oleh Farah . Dibacanya coretan itu.

FIFI…… katakan pada Raizal. Andainya dia melamar aku, aku akan menerimanya!

Manik-manik jernih menitis di atas FIFI. Raizal melemparkan pandangannya ke luar tingkap. Tidak disangka Farah  sempat menulis pada FIFI mereka. Segalanya akan menjadi kenangan bagi Raizal. Dia tetap memegang tali setianya pada Farah . Tidak mungkin untuk dia menerima mana-mana gadis lain dalam kehidupannya. Biarlah rumah pokok ini yang menjadi saksi segala kisah memori mereka.








-TAMAT-

rumah pokok (episod 10) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 10]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”


Suasana di hospital pada ketika itu agak senggang daripada biasa. Raizal terus berjalan menuju ke wad Farah  yang terletak di tingkat dua bersama Mak Sapiah. Dia tidak terkata-kata semasa mendapat berita bahawa Farah  dimasukkan ke hospital. Jantungnya berdetak laju. Hatinya berdoa moga tidak terjadi apa-apa yang buruk pada Farah .

Kelihatan Farah  terbaring lesu di katilnya. Bibir Farah  pucat. Rupanya memang seperti orang sakit. Sudah hilang langsung keceriaan Farah  selama ini pada raut wajahnya.

Yasmin yang berada di sisi Farah  itu bersalaman dengan Makcik Sapiah. Matanya berair. Masih ditunggu laporan selanjutnya daripada Taufiq namun masih  belum tiba jua. Raizal yang berkaca mata itu sudah melabuhkan duduknya bersebelahan dengan Farah . Wajah Farah  ditatapnya.
            
             Segala memori dirinya dan Farah  menari-nari di mindanya. Memori di rumah pokok, berlari-lari di lereng bukit, gelak dan tawa mereka serta kenangan melihat kelip-kelip…. Semuanya!
         
             Taufiq masuk ke dalam bilik rawatan. Dia bersalaman dengan Raizal. Dia kemudian menarik Raizal jauh daripada Mak Sapiah, Yasmin dan juga Farah .
      
          “Aku tak tahu nak cakap apa, Raizal. Tumor dia semakin membesar dan menular. Kalau nak buat pembedahan, terlalu berisiko!  Kita tak boleh senang-senang nak bedah kepala sebab kepala ni  berkait rapat dengan otak. Keadaan dia sangat kritikal sampai boleh koma macam ni. Kita memang tak boleh buat apa-apa lagi. Satu-satunya usaha mujarab yang boleh kita lakukan hanyalah doa. Kalau dulu benda ni dapat detect awal, insyaAllah tak ada apa-apa masalah. Tapi, malangnya Farah  terlewat untuk membuat pemeriksaan doktor dulu,” terang Taufiq.

“Tapi Taufiq, sebelum ni aku tengok dia sihat saja. Tak ada langsung nampak macam orang sakit,” balas Raizal.

“Itulah dia sekarang ni Raizal. Dia sentiasa mahu jadi seperti kita semua. Dia tak suka memikirkan sangat perihal sakitnya. Dia pernah lari dari hospital dahulu sebab tak suka diperlakukan seperti orang sakit. Dia suka dilayan sebagaimana kita melayan orang normal,” jelas Taufiq.

“Kau jangan risau Raizal. Dalam kondisi koma begini aku yakin, yang koma hanyalah jasadnya saja, bukan mindanya. Dia dapat mendengar kata-kata kita. Kau bisikkanlah kata-kata semangat pada dia. Aku yakin dia akan mendengarnya dan ini serba sedikit meransang mindanya untuk sembuh,” ujar Taufiq lagi. Dia berlalu pergi.





                Raizal terduduk. Dia tak sangka cepat betul semuanya berlaku. Dahulu Farah  pernah meninggalkannya sekali, kini dia tidak sanggup untuk melepaskan Farah  pergi. Dia menangis sendiri. Kenapa begitu pantas tempoh Farah  dipinjamkan kepadanya? Kenapa semua berlaku dengan tanpa disangka-sangka?

rumah pokok (episod 9) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 9]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”


                 Yasmin memanjat rumah pokok. Dia mencari Farah  dari pagi tadi tapi masih tidak ketemu. Mungkin saja Farah  berada di dalam rumah pokok itu. Ada sesuatu yang perlu dia cakapkan pada Farah . Mujur Farah  juga ada di dalam rumah pokok tersebut. Dia sedang leka membaca FIFI. Kehadiran Yasmin langsung tidak dia sedari.
               
“Farah , aku ada sesuatu nak diperbincangkan,” ujar Yasmin.

                Farah  menutup FIFI. Dia memandang wajah Yasmin. “Apa dia?”

                “Kenapa kau datang kampung ni balik?” soal Yasmin.

                “Apa maksud kau, Min?” soal Farah  kembali. Dia tidak selesa dengan nada Yasmin yang seolah-olah tidak menyukai kehadirannya.

                “Kau tak payah nak sembunyikan semuanya dari aku, Farah ! Aku dah tahu semuanya! Semuanya tentang sakit kau!!” jerit Yasmin. Matanya berair.

                “Apa yang kau melalut ni, Yasmin?” soal Farah . Dia berlagak selamba.

                “Aku melalut?!  Aku melalut ke engkau yang melalut hah? Kenapa kau hadirkan juga diri kau dalam hidup Raizal sedangkan kau tahu yang kau tak dapat bertahan lama?! Kau tahu tak Raizal tu bagai nak rak, menanti kau datang, setiap hari doanya tak putus, nakkan kau datang jumpa dia kat sini!” marah Yasmin. Air matanya berguguran.

                “Mana kau dapat tahu tentang sakit aku?” soal Farah

                “Kau tak perlu tahu tu! Apa yang kau perlu tahu ialah kesungguhan Raizal menanti kau selama ni!” Yasmin menuju ke satu sudut yang menggantungkan sebuah peti surat yang diperbuat daripada kayu. Ada nama Farah  tertera pada peti surat tersebut. Yasmin mengeluarkan semua surat-surat di dalamnya. Kemudian dia mencampakkan satu persatu surat tersebut ke arah Farah.

                “Nah!! Ambil ni semua. Setiap hari Raizal tidak lupa mengutus surat kat kau, tapi dia tak tahu nak hantar pada siapa. Dia langsung tak tahu apa alamat kau. Dia simpan semua surat ni dalam peti tu! Dan engkau? Kau tahu alamat dia, tapi ada kau datang jumpa dia selama 16 tahun ni? Kau sepatutnya datang dah lama dah, bukan sekarang! Bukan pada sisa masa engkau yang tinggal! Lebih baik dia tak jumpa kau dalam keadaan kau yang sakit macam ni. Kehadiran kau akan mengguriskan lagi hati Raizal. Kau ingat dia bersedia ke akan kehilangan kau buat kali kedua? Kehilangan kau buat pertama kali dalam diri dia sudah cukup membuatkan diri dia ternanti-nanti,” ujar Yasmin. Dia sungguh beremosi ketika itu.

                Farah  tersenyum. Dia memandang keluar tingkap. “Kau tak rasa apa yang aku rasa, Yasmin. Cukup sampai di sini… aku tak nak gaduh,” ujar Farah .

                “Aku tak ajak kau gaduh, Farah . Aku cuma nak penjelasan dari engkau! Kenapa kau datang di saat akhir hidup kau? Kau tahu… Raizal itu sukakan engkau! Sayangkan kau! Kau seolah-olah memberi harapan pada Raizal sedangkan kau sendiri tak mampu membalas harapan tu,” balas Yasmin.

                “Senanglah kau kata macam tu sebab kau tak merasainya sendiri Yasmin. Kau nak penjelasan kan? Nah!! Sebelum aku datang sini, aku langsung tak berharap nak jumpa sesiapa pun. Aku cuma nak pergi merasai kembali zaman kanak-kanak aku di akhir umur aku ni! Aku teringin benar melihat rumah pokok aku buat kali terakhir. Semua yang ada pada aku sudah tak bermakna lagi selepas ni. Aku tak memberikan apa-apa harapan pada Raizal sebab aku tahu, seorang peghidap barah otak macam aku ni tak layak nak menerima cinta orang yang sihat macam dia!”

                “Salah ke aku datang kat kampung halaman aku sendiri sebelum aku dah tak ada lagi di dunia, Yasmin?” sambung Farah . Mukanya tidak ada langsung riak sedih tapi air matanya mengalir deras. Dia duduk bersandar di tepi dinding.

                “Kau sukakan Raizal?” soal Yasmin.

                “Tak.. aku tak perlu mencintai dan tak perlu dicintai oleh sesiapa. Hidup aku, biar aku saja yang meneruskannya selagi ada waktu,” balas Farah .

                Yasmin menoleh ke belakang. Tidak mahu dia melihat Farah . “Kau egois!  Kau langsung tak memikirkan perasaan orang lain. Bagi kau hidup kau ni tak relate dengan kehidupan orang lain,” ujar Yasmin. Dia memandang Farah  semula. Farah  kelihatan terduduk lesu di tepi dinding. Matanya terpejam rapat. Yasmin mendekati Farah .

 “Farah ??” ujar Yasmin.

Farah  tidak menyahut mahupun bergerak. Yasmin menepuk-nepuk muka Farah.

“Farah ??!” 

rumah pokok (episod 8) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 8]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”


             Nyanyian sang unggas dari celah semak menghias suasana malam itu. Angin semilir bertiup lembut. Segar rasanya ditiup angin tanpa debuan kota. Sudah lama Farah  rindukan belaian angin, bicara sang unggas dan gemersik daun-daun pokok di kampung itu. Farah  menghembuskan lelah nafasnya. Dia melabuhkan duduknya di atas kayu-kayu yang telah dibuat khas untuk tempat berehat di hadapan rumah Mak Sapiah. Kopi di tangannya dihirup perlahan. Panas.
             
               “Rindu kampung, Farah ?” soal Mak Sapiah dari belakang.

                Farah  menguntum senyuman. “Tipulah tak rindu, makcik. Rasa macam nak tinggal terus saja di sini.”
               
               “Farah  nak tinggal terus di sini pun tak apa. Makcik lagi suka! Ada juga teman berborak. Ibu dan ayah kamu sihat?”
               
               “Alhamdulillah sihat. Sekarang mereka di Hong Kong, ada urusan perniagaan. Ayah nak buka perniagaan kat sana pula.”

                “Wah… bagus tu. Nanti boleh kamu pula yang uruskan perniagaan tu,”  ujar Mak Sapiah.

                Farah  tersenyum. Dia menekur tanah.

                Raizal datang dari arah belakang. Kemas dengan berbaju melayu putih dan berseluar panjang hitam. “Amboi .. dah duduk berdua-duaan ni mesti bergosip pasal jejaka kacak ni kan?” tegur Raizal.

                Farah  menoleh ke arah Raizal. Begitu juga dengan Mak Sapiah. “Kacak ke anak mak ni?” soal Mak Sapiah. Geli hatinya mendengar kata-kata Raizal.

                “Bolehlah… buat makan,” gurau Raizal. Dia melabuhkan duduknya berhampiran dengan Mak Sapiah.

                “Eh, mak lupalah Raizal. Mak nak kena hantarkan kuih bahulu tu kat rumah Mak Andak nun,” ujar 
Mak Sapiah. Dia lantas bangun.

                “Tak apa, mak.. biar Raizal yang hantarkan. Dah malam ni, nanti ada kawan Nek Nak kejar mak baru mak tahu!” ujar Raizal.

                “Sebelum dia kejar mak, mak kejar dia dulu!” gurau Mak Sapiah. Raizal dan Farah  yang mendegar telatah Mak Sapiah itu turut menghamburkan tawa mereka.

                “Dekat atas meja tu ada empat balang kuih bahulu. Nanti cakap kat Mak Andak, bayar hujung bulan saja,” jelas Mak Sapiah.

                Raizal pergi mengambil kunci kereta dan empat baling kuih bahulu yang dimaksudkan tadi. “Farah , jom!” ujar Raizal. Dia mengajak Farah  untuk turut ikut sertanya menghantar kuih bahulu.

                Pada awalnya, Farah  tidak mahu tapi Mak Sapiah juga menyuruhnya mengikut Raizal. Kata Mak Sapiah, jika Farah  duduk di rumah saja dia tentu kebosanan kerana tiada apa yang menarik ada di rumah Mak Sapiah. Jadi lebih elok dia mengikut Raizal mengahantar bahulu tersebut ke rumah Mak Andak.

                Mereka pergi ke rumah Mak Andak dengan menaiki kereta milik Raizal. Selepas menghantar kuih bahulu, Raizal terus memandu keretanya ke hulu kampung, bukan berpatah balik ke rumah Mak Sapiah. Farah  berasa pelik. “Buka sepatutnya kita ikut jalan belakang tadi tu ke?” soal Farah .

                Raizal tersenyum. “Aku nak tunjuk something kat kau,” ujar Raizal.

                Kemudian dia membelokkan keretanya ke kiri dan berhenti di satu kawasan lapang. “Nak buat apa kat sini?” soal Farah . Dia berasa agak janggal di tempat itu. Bukan sahaja sunyi malah gelap pula.

                “Kau jangan risaulah. Bukan kita berdua saja yang ada kat sini, Yasmin dengan anak dia pun ada. Jom tunggu dia orang berdua dekat luar,” ujar Raizal. Mereka keluar dari kereta.

                Tidak lama kemudian, datang kelibat seorang wanita muda sedang mendukung anak kecilnya. Ya, itu Yasmin!  Bukan kawan Neknak. Yasmin menghadiahkan senyumannya kepada Farah . Jelas kelihatan lesung pipitnya yang dalam itu. Mereka berdua bersalaman.

                “Lama tak jumpa kau, Farah ! Pergi pun tak bagi tahu aku,” ujar Yasmin.

                “Aku urgent sangat masa tu. Sorrylah ya. Kau dengan anak kau saja yang datang? Mana hubby? Takkan sorok kat rumah kot,” usik Farah .

                “Eh, mana ada sorok-sorok ni. Hubby aku tak ada kat sini. Dia kerja outstation, tapi malam ni dia balik sini! Nanti datanglah rumah, boleh aku kenalkan.”

                “InsyaAllah… tak janji.. so sekarang kau tinggal berdua saja dengan anak kau?”

                “Rumah aku bukan dekat sini, Farah. Bila cuti saja baru aku balik rumah ayah aku ni. Biasalah, orang dah berumur ni kalau dah ada cucu memang tiap-tiap hari nak bermain dengan cucunya. Sekali-sekala kalau aku datang, aku selalu bawa anak aku pergi pondok kau tu,” sembang Yasmin. Anaknya, Natasya hanya berdiri di sisinya. Mendengar segala celotehan ibunya.

                “Amboi… perempuan kalau dah jumpa, memang tak ingat dunia. Bergosip habis! Aku dari tadi kat sini tak diendahnya. Penat aku tunggu kau orang nak berhenti bercakap,” bebel Raizal. Dia menyandar tubuh pada keretanya.

                “Alah.. jambulah kau ni, kuat merajuk !” ujar Farah . Dia menggelakkan Raizal, begitu juga Yasmin.

                “Hahaha.. okeylah, jom pergi tengok sekarang. Cepat pergi, cerpatlah kita balik,” ujar Yasmin. Dia memegang erat tangan Natasya.

                “Tengok apa? Aku dari tadi tertanya-tanya tau, kenapa kita semua datang sini,” ujar Farah . Dia memandang Yasmin.

                Yasmin memandang Raizal. Raizal meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat menyuruh Yasmin tidak berkata lanjut mengenai perihal mereka ke tempat itu. Yasmin hanya tersenyum.

                “Ada lah, Cik Farah  oi.. jom!” ujar Raizal. Mereka semua melangkah ke dalam satu kawasan semak. Di dalam semak itu ada jalan yang telah dibuat bagi mempermudahkan perjalanan sesiapa sahaja yang melalui kawasan tersebut. Di hujung jalan semak itu kelihatan tanah tinggi yang sudah ditanggakan tanahnya agar tidak terlalu cerun. Mereka mendaki tangga itu dengan berhati-hati.

                Di atas tanah tinggi itu, ada beberapa biji batu besar. Raizal, Farah , Yasmin dan anaknya duduk di atas bati besar tersebut. Pemandangan dari atas tanah tinggi itu cukup indah! Kehadiran ribuan kelip-kelip pada malam itu menyihir sesiapa saja yang datang ke tempat itu.  Farah  tersenyum gembira. Dia suka benar melihat kelip-kelip di hadapannya sekarang. Terasa hilang segala masalah yang ditanggungnya selama ini. Lama juga dia memerhatikan kelip-kelip yang berterbangan itu sebelum Raizal datang menegurnya.



                “Ingat lagi tak, masa kecil-kecil dulu kita selalu tangkap kelip-kelip kat belakang rumah aku?” soal Raizal. Dia menghampiri Farah . Yasmin pula sibuk melayan anaknya.

                “Mana boleh aku lupa benda-benda macam tu, Raizal.”

                “Aku nak tanya sesuatu,” ujar Raizal.

                “Apa dia?” soal Farah .

                “Seandainya aku melamar kau, kau terima?” soal Raizal. Tenang.

                “Kau ni memang suka merepek tengah-tengah malam ke? ” ujar Farah . Acuh tak acuh. Dia masih tenggelam dalam keindahan kelip-kelip di hadapannya itu.

                “Aku tak merepek, Farah . Aku serius,” tegas Raizal. Tenang.

                Farah  terdiam. Dia memandang Raizal. Raizal langsung tidak memandangnya tetapi melemparkan pandangannya ke arah kelip-kelip yang bebas berterbangan di udara.

                “Kau orang! Lama lagi ke? Dah nak pukul sepuluh setengah ni,” teriak Yasmin.

                Farah  memandang Yasmin. Dia mahu segera melangkah ke arah Yasmin tetapi langkahnya terhenti tatkala Raizal berkata sesuatu padanya. “Dah lama aku tunggu kau datang kat sini, tapi baru sekarang kau datang. Kenapa tak dari dulu kau datang? Kenapa baru sekarang kau cari tempat ni?”

                “Kau akan tahu nanti,” balas Farah . Dia terus melangkah menghampiri Yasmin dengan anaknya. Farah  mencium anak kecil itu dan bermain-main dengannya sambil diperhatikan Raizal. Raizal menghela nafas panjangnya. “Kenapa susah kau nak faham perasaan aku, Farah ?” bisik hatinya.

                Habis menikmati keindahan kelip-kelip pada malam itu, mereka semua pergi mendapatkan kereta Raizal. Memandangkan hari sudah agak lewat malam, Raizal menghantar Yasmin dan anaknya pulang ke rumah Engku Zaquan. Sesudah itu nanti baru dia akan menghantar Farah  pula ke rumah emaknya.

                Setiba di perkarangan rumah Engku Zaquan, Yasmin melihat suaminya sedang duduk bersantai bersama Engku Zaquan di koridor luar. Natasya tersenyum gembira melihat bapanya. Sebelum Yasmin keluar dari perut kereta, dia menjemput Raizal dan Farah  untuk singgah sebentar. Tapi Raizal menolaknya. Dia mengatakan hari sudah jauh malam, Farah  pula kelihatan seperti sudah mengantuk. Mungkin esok saja katanya.

                Yasmin dan Natasya turun dari perut kereta lalu melambai Raizal dan Farah . Farah  melambai lambaian Yasmin dan anaknya. Raizal membunyikan hon kereta dan melambai ke arah Engku Zaquan dan Taufiq, suami Yasmin. Taufiq menghampiri Yasmin dan mengangkat tangannya ke arah Raizal. Raizal terus memandu keretanya pulang. Taufiq mendukung Natasya dan mencium umbun-umbun anak kecil itu.

                “Siapa perempuan di sebelah Raizal tadi?” soal Taufiq.

                “Oh.. Itu Farah , kawan lama kami. Dah 16 tahun tak jumpa,” beritahu Yasmin.

                “Abang rasa macam pernah nampak. Apa nama panjang dia?” soal Taufiq. Dia mahukan kepastian. Takut pula kalau tersalah orang.

                “Farah Nazifa Abdul Saad… abang kenal ke?” ujar Yasmin.

                “Dia kerja sendiri ke?” soal Taufiq lagi.

                “Pengusaha bakeri kalau tak silap,” terang Yasmin. Nasib saja Raizal ada memberitahunya petang 
tadi, sebelum dia berjumpa Farah .

                “Ya Allah, Min. Padanlah abang kenal, dia pesakit abang!” ujar Taufiq. Dia menepuk dahinya. Bagaimanalah dia boleh terlupa pesakitnya itu. Padahal, sebelum ini mereka kerap bertemu.

                “Pesakit? Sakit apa?!” ujar Yasmin. Dia terkejut mendengarnya.

rumah pokok (episod 7) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 7]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”


Enam belas tahun kemudian….

            Sebuah Myvi hitam menyusur laju. Apabila sudah masuk ke simpang kawasan perkampungan, kereta itu mula mengurangkan kelajuannya. Pemandangan kampung yang indah itu ditatap. Ada banyak pengubahsuaian yang dilakukan di sekitar kawan tersebut. Tiang-tiang lampu sudah mula terpacak, rumah-rumah kedai sudah dirikan dan surau juga kelihatan baru!
            
           Kereta Myvi itu kemudiannya berhenti di pinggir jalan. Enjinnya dimatikan. Farah  yang kini kelihatan lebih dewasa dengan imej bertudung turun dari kereta tersebut. Dia cuba mengecam jalan-jalan di kampungnya. Jelas sekali, memang banyak perubahan yang sudah dilakukakn. Dia berjalan ke dalam hutan rimba yang terletak dipinggir jalan tersebut. Mencari-cari sesuatu yang tidak pasti. Masih wujud lagikah rumah pokok yang dibina bersama-sama Raizal dahulu?
        
        Di dalam hutan tersebut, Farah  melihat ke arah sebuah rumah pokok yang kelihatan lebih  kemas dan cantik dari  sebelumnya. Dahulu rumah pokok tersebut tidak dicat namun sekarang sudah berwarna merah jambu. Pasu-pasu kecil juga kelihatan tergantung dari luar jendela. Ya.. itulah rumah pokoknya dahulu, yang pernah menjadi saksi persahabatnnya dengan Raizal.

                Tiba di bawah rumah pokoknya, Farah  memanjat tangga kayu di situ dengan berhati-hati. Sampai saja dia di dalam rumah pokok, Farah terus  duduk dan memerhatikan sekelilingnya. Rumah pokok itu juga sudah berubah! Di bahagian dalam telah dicatkan warna merah jambu. Para dan bekas alat-alat tulisnya masih ada seperti dahulu. Beberapa patung beruang, bantal, televisyen dan radio lama menjadi hiasan rumah pokoknya.

 Pandangan Farah  terhenti pada beberapa bingkai gambar yang tergantung di dinding rumah pokok itu. Bibirnya mengukir senyuman. Jari-jemarinya yang runcing menyentuh foto-foto yang berada di dalam bingkai gambar. Foto-foto itu merupakan rakaman memori indah dirinya dengan Raizal. Ada juga foto dirinya memakan mangga masam. Ah! Itu kenangan lucunya. Farah tertawa kecil.

                Bersebelahan dengan bingkai-bingkai gambar tersebut, kelihatan satu bahagian dinding yang tidak diwarnakan dengan warna merah jambu. Dinding itu kekal dengan warna asalnya dalam bentuk ‘love’. Farah  menghampiri dinding berkenaan. Terukir nama “Farah  dan Raizal”  di dalamnya. Farah  berdebar-debar. Jika Raizallah yang mengecat dinding ini, pasti dia tahu bahawa Farah  yang mengukir nama tersebut dalam bulatan berbentuk ‘love’ suatu ketika dahulu.

                Di satu sudut rumah pokoknya itu terdapat satu peti surat yang diperbuat daripada kayu. Ada tertulis namanya di hadapan peti surat itu. Farah  pelik! Jika tidak salah, peti surat tersebut rasanya tidak wujud langsung semasa dunia kanak-kanaknya. Jadi, mengapa namanya pula tertulis pada hadapan peti surat terbabit? Siapakah yang membuatnya?

                “Ai cik kak, sedap-sedap masuk rumah orang?”

                Farah  menoleh. Seorang pemuda sedang berdiri di belakangnya sambil mencekak pinggang. Rambutnya kemas. Cermin mata tidak berbingkai membuatkan pemuda itu tampak begitu segak. Tangan kanannya memegang sebuah buku usang. Rasanya, Farah  masih kenal buku tersebut.

                “Raizal??” ujar Farah .

                “Kau siapa?” soal Raizal kembali. Cermin matanya yang melurut itu ditongakkan ke atas.

                “Kau Raizal?”

                “Yes. I am Raizal. What can I help you Miss……?”

                “Miss Farah Nazifa.”

                “Eh, jap! Boleh awak ulang balik nama tadi,” pinta Raizal. Mukanya pelik. Dia pasti dia tidak salah dengar tadi. Gadis di hadapannya ini tadi menyebut nama Farah Nazifa.

                “Tak perlu ulang rasanya. Itu FIFI aku kan?” soal Farah . Dia menjeling ke arah diari usangnya itu.

                “Farah  Nazifa ke kau cakap tadi? Betul ke ni? Aku… aku tak bermimpi ke?” soal Raizal. Ada riak kegembiraan diwajahnya. Saat itu Farah  dapat menyaksikan senyuman Raizal yang paling dirinduinya dahulu.

                “Kau nak aku tendang kau dari tingkap ni baru kau nak percaya ke?” ujar Farah  sambil tersenyum. Dia sudah menjadi seperti dirinya dahulu.

                “Ya!! Kau memang Farah  yang aku kenal dulu! Alhamdulillah..!! Balik juga kau akhirnya!! Tendang luar tingkap ya? Heh! Kau tahu, dah berbelas tahun aku tunggu kau, baru sekarang kau ingat nak datang sini? Kau tengok semua ni…. Aku dengan Yasmin upgradekan tempat ni. Tak kesian kat kami ke upgrade kan tempat ni berdua saja? Kau bukannya nak balik, tolong sekali.” bebel Raizal.

                “Yasmin?” soal Farah . Itulah nama yang paling tidak disukainya dahulu.

                “Ai… cik kak jealous ke?” soal Raizal kembali sambil tersenyum. Anak matanya menjeling ke arah Farah .

                “Ah! Tak kuasa aku!” balas Farah .

                “Ohh… tak kuasa.. Tu.. nama Farah  dan Raizal tu apa ke bendanya?” soal Raizal sambil menunjukkan ke arah nama mereka yang terukir di dalam bentuk ‘love’ tadi.

                Farah  menjadi malu. Mukanya merah. “Mana ada… dah lah! Aku nak turun!” ujar Farah . Dia terus turun dari rumah pokok tersebut.

                Di bawah kelihatan seorang kanak-kanak perempuan dalam lingkungan empat tahun sedang menanti Raizal turun dari rumah pokok. Farah  tidak kenal kanak-kanak tersebut, namun iras wajahnya sebiji seperti Yasmin suatu ketika dahulu. Sejurus Raizal turun dari rumah pokok tersebut, kanak-kanak itu terus mendakap Raizal.

                “Anak kau?” soal Farah.

                Raizal tersenyum. Dia mendukung kanak-kanak tersebut lalu menciumnya. “Anak Yasmin. Dia selalu bermain dengan aku. Kau jangan risau, aku masih single and available,” ujar Raizal sambil tersenyum.

                “Yasmin dah kahwin?”

                “Dah! Dia kahwin masa menuntut kat Universiti lagi. Alah, suami banyak duit, bolehlah kahwin 
awal-awal. Eh, tidur sinilah malam ni. Banyak benda yang hendak diborakkan.”

                “Tak  apalah.. aku singgah kejap saja. Lagi pun kain baju aku tak bawa.”

                “Kau tidur saja kat rumah mak aku. Kain baju pinjam kakak aku punya. Lagi pun mak aku dah lama tak jumpa kau. Mesti dia suka bila jumpa kau nanti. Aku dah ada rumah sendiri kat sekolah menengah 
baru simpang depan sana tu, so aku rasa tak payahlah segan sebab rumah mak aku tu tak ada orang lelaki pun.”

                “Kau kerja sanakah?”

                “Aku warden sekolah menengah tu,” balas Raizal. “Kau pula kerja apa sekarang?” sambung Raizal lagi.

                “Aku?? Aku buka bakeri,” balas Farah .

                “Oh.. orang berniagalah ya? Okey lah tu.. Aku cikgu akaun, kau pula orang berniaga. Macam dijodohkan pulak. Hahaha.. dah jom! Jumpa mak aku..!” ujar Raizal. Dia tersenyum lebar. Gembira rasanya dapat berjumpa dengan kawan lama. Kalau dahulu mereka comot saja, kini mereka sudah pandai menguruskan diri sendiri.

                Mereka berdua berjalan ke arah kereta Farah  sambil bersembang mengenai perkembangan diri masing-masing. Anak kecil Yasmin masih berada di dalam dukungan Raizal. Raizal memberikan FIFI kepada Farah .

                “Aku harap, kita boleh sambung FIFI untuk jilid kedua,” ujar Raizal.

                “Hahaha.. boleh saja,” balas Farah  sambil mengambil FIFI dari pegangan Raizal.

                “Jilid kedua……..” bisik hati Farah . Dia tersenyum sendiri

rumah pokok (episod 6) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 6]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”

Raizal mengayuh basikalnya. Cuaca agak mendung tengah hari itu. Mungkin sebentar lagi hujan akan turun. Tiba di rumah Farah, Raizal pelik melihat pintu dan tingkapnya tertutup rapat. “Ai.. pergi pekan ke? Tak ajak pun,” soal Raizal sendirian.

Dia mengetuk pintu dan memberi salam berkali-kali. Tiada siapa yang menjawab salam tersebut. Dilihatnya selipar Farah, juga tiada! Selalunya, ada banyak selipar di bawah tangga rumah Farah walaupun Farah  duduk bertiga saja dengan orang tuanya. Kain pun tidak ada yang dijemur. Pelik! Raizal terus mengambil basikalnya untuk ke rumah pokok.

*______________________________*
  
 Di rumah pokok, Yasmin sedang membaca isi FIFI. Ada coretan yang baru ditulis kelmarin. Kebetulan pada ketika itu, Raizal baru saja tiba. Yasmin memanggil Raizal untuk membaca coretan Farah  bersama-sama.

Mungkin ini coretan terakhir aku, FIFI. Lepas ni mungkin aku tak akan dapat jumpa kau lagi. Sedih betul bila aku dapat tahu yang aku kena tinggalkan kampung ni. Aku kena ikut ayah aku berpindah ke Johor. Aku kena tinggalkan kau FIFI–diari yang paling aku sayang, rumah pokok ni dan Raizal sekali. Apa yang boleh aku bawa bersama hanyalah kenangan aku dengan Raizal selama ini, walaupun dia sudah tak anggap aku sebagai kawan dia lagi. Aku tak nak tulis panjang-panjang kat kau, FIFI. Cukuplah kenangan aku dengan Raizal saja dicoretkan di dalam kau. Kalau Raizal baca coretan aku ni, kau bagi tahu kat dia yang aku... aku nak pindah..
terima kasih sebab sudi berkawan dengan aku..

“Farah  pindah?!!” ujar Raizal.


Dia sudah tidak keruan. Dia terus turun dari rumah pokoknya dan mencapai basikal lalu memecut laju ke rumah Farah .
     
“Raizal!!! Awak nak ke mana?” jerit Yasmin dari tingkap rumah pondok. Tapi jeritannya tidak Raizal endahkan.

Raizal sedaya upaya memecut laju basikalnya ke rumah Farah. Cuaca mendung bertukar menjadi gelap. Guruh mula berdentum di sebalik bukit-bukau. Namun, itu semua tidak Raizal hiraukan. Kayuhannya diperlajukan lagi.

Setiba di halaman rumah Farah, Raizal mengetuk-ngetuk rumah papan tersebut. Dia mula sebak. Nama Farah  dipanggil bertalu-talu.

 "Farraahh!! Farrahh!! Bukak pintu ni Farah! Aku tahu kau kat dalam..!"

 Namun, tiada sahutan kerana Farah  sudah berpindah semalam.

 Hujan mula turun dengan lebatnya. Dia mencari kalau-kalau Farah  ada meninggalakan sesuatu untuknya di celah-celah pintu, tingkap, pasu bunga, peti surat atau apa saja di sekeliling rumah Farah. Raizal kebasahan. Hujan yang lebat itu turun mencurah-curah membasahi Raizal yang masih berusaha mencari sesuatu yang tidak pasti kewujudannya.

Akhirnya, Raizal mengalah. Dia terduduk di halaman rumah Farah . Rumput di hadapannya dicariknya geram. “FARAAAHH…!!!” jerit Raizal sekuat hati. Dia teresak tangis di dalam hujan yang lebat. 

rumah pokok (episod 5) - karya sendiri =)

RUMAH POKOK
[episod 5]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”

“Assalamualaikum makcik…  Raizal ada tak?” soal Farah. Dia kepingin benar berjumpa dengan Raizal saat itu untuk memberitahu bahawa esok dia akan berpindah ke Johor.

Makcik Sapiah menoleh ke arah Farah. “Tak adalah, Farah . Dia ikut Yasmin pergi mandi sungai rasanya. Petang nanti baliklah kot. Eh, Farah  tak ikut sekali dia orang berdua ke?” soal Makcik Sapiah. Dia sibuk mengangkit kain dari jemuran.

“Oh..  A’ah.. Farah  lupa pula semalam Raizal ada ajak pergi sekali. Hahaha.. Farah  sibuk sikitlah makcik, sebab tu tak dapat ikut. Hmm.. tak apalah makcik, Farah  balik dulu ya,” ujar Farah . Sopan. Selangkah dia pergi, berjujuran air matanya melimpah keluar. Tidak terasa pula dia hendak pulang terus ke rumah. Bukan lagi masanya untuk pulang sekarang. Ini adalah masa untuk pergi ke rumah pokoknya. Esok dia pasti tidak akan sempat untuk ke rumah pokoknya lagi.

*__________________________*

Makcik Sapiah sedang sibuk mengupas bawang di dapur. Matanya memandang ke arah Raizal yang sedang berjalan ke arahnya. “Raizal… mak lupa nak cakap, semalam Farah  ada datang sini, cari kau.”

Raizal duduk di hadapan emaknya sambil meneguk segelas air. “Lepas tu?” soal Raizal.

“Mak cakaplah yang kau ikut Yasmin pergi mandi sungai.”

“Lepas tu dia cakap apa?”                                            

“Dia kata dia terlupa pula yang kau ada ajak dia sekali kelmarin.”

“Ajak?? Mana ada Raizal ajak dia.”

“Tak ajak??! Tapi dia cakap dengan mak yang kau ada ajak dia sekali.”

“Tak.. mana ada Raizal ajak. Jumpa pun tak.”

“Ai.. teruk punya budak! Kau tak ajak dia sekali? Padanlah semacam je mak tengok dia. Kau ni memang tak ada langsung nilai persahabatanlah dalam diri kau ya,” bebel Makcik Sapiah.

“Asal Raizal pula yang teruk?”

“Ya lah.. semenjak budak Yasmin tu datang, mak tengok sudah jarang benar kau tu bermain dengan Farah. Kau selalu bermain dengan si Yasmin tu je. Farah  pula mak nampak main basikal sorang-sorang sekarang ni. Tak baik kau buat dia macam tu. Mesti dia terasa. Jumpa kawan baru, tinggal kawan lama! Esok mak nak kau jumpa dia, pergi minta maaf!”

rumah pokok (episod 4) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 4]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”

“Takkan dua hari lagi, bu? Kenapa tak bagi tahu Farah  awal-awal?” soal Farah . Nasi di hadapannya baru dijamah sedikit. Berita bahawa mereka akan berpindah ke Johor lagi dua tiga hari terus membantutkan selera makannya.

“Ya.. ibu dapat tahu seminggu lepas tapi masa tu tak tahu lagi sama ada jadi pindah atau tidak. Semalam, ayah kamu telefon dari Johor, katanya lori sudah disewakan, rumah pun sudah disediakan. Kata ayah, di sana lebih selesa rumahnya,” jawab Makcik Zaiton.

“Tapi, berita ni terlalu tiba-tiba mak. Farah  pun tak bersedia lagi! Farah tak nak tinggalkan kawan-kawan Farah kat sini. Ibu... tak boleh ke kalau kita tak pindah? Biarkan ayah saja tinggal di sana. Bila cuti nanti ayah baliklah ke sini,” pinta Farah .

“Tak boleh, Farah . Kamu ingat Perak dengan Johor tu dekat? Lagipun tak selamat kita tinggal di kampung ni kalau tak ada orang lelaki di dalam rumah ni. Siapa yang nak jaga kita nanti? Pakcik kamu tu selalu datang ke mari. Nanti mulalah orang kampung cakap sana-sini. Macam kamu tidak tahu perangai orang di kampung ni.”

“Tapi, bu……”

“Dah! Makan cepat.. jangan naikkan darah ibu! Orang cakap bahasa melayu susah lagi ke nak faham?!” marah Makcik Zaiton.  Dia memang pantang jika ada yang menaikkan darahnya di hadapan rezeki.

Farah  terdiam. Hatinya tersentap dengan kata-kata Makcik Zaiton. Air matanya mula menitik. Tidak suka dia dimarahi sedemikian rupa. Ibunya tak faham apa yang dirasakannya saat ini. Dia terus bangun dan berlari ke dalam bilik.

“Farah ! Farah Nazifa!!” panggil Makcik Zaiton. Serba salah pula dia terhadap anaknya itu.

rumah pokok (episod 3) - karya sendiri =)



RUMAH POKOK
[episod 3]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”




Aku tak suka dia… menggedik! 
   
                Farah  menulis coretannya di dalam salah satu muka surat FIFI. Dia meluahkan rasa geramnya. Entah kenapa dia memang tidak senang dengan kehadiran Yasmin di situ. Dia dapat rasakan, bahawa Raizal akan jarang ke rumahnya untuk bermain bersama atau mungkin saja Raizal tidak akan datang ke rumah pokok ini lagi. Apa yang pasti, dia sangat geram saat ini. Atas sebab apa dia perlu berasa geram, dia pun tak tahu. Apakah mungkin dia sudah mula menyukai Raizal? Oleh sebab itu dia berasa geram tatkala melihat Raizal dan Yasmin saling bersenyuman. Penyakit CEMBURUkah itu?.

                Kedengaran suara tawa riang Raizal dari bawah. Farah  berasa pelik. Raizal bermain dengan siapa? Dia pergi menjenguk kepalanya ke tingkap rumah pokok bagi memastikan dengan siapakah Raizal bergelak sakan.

                “Yasmin… kat sinilah tempat saya selalu bermain. Kat atas sana ada rumah pokok, kalau nak tengok jomlah! Kita panjat kat pokok tu…” ujar Raizal sambil menunding jari ke arah pokok yang menampung rumah pokoknya selama ini.

                “Saya awak??! Hamboii!! Dengan aku elok pula berkau-aku,” ujar Farah  sendirian. Dia kembali duduk, memikirkan kata-kata Raizal. Geram benar melihat layanan Raizal terhadap Yasmin. Mahu saja dia mencari akal untuk tidak membenarkan Yasmin masuk ke rumah pokok mereka tapi agak terlewat. Raizal dan Yasmin telah pun memanjat pokok untuk masuk ke dalam rumah pokok tersebut. Apabila mereka masuk ke dalam, mereka terkejut melihat Farah  di situ. Farah  sedang duduk di lantai. Dia  memandang mereka berdua dengan tangannya yang memegang FIFI.

                “Eh, kau di sini?” soal Raizal. Dia memandang Farah .

                “Ni ke kawan awak tu, Raizal? Hai! Saya Engku Yasmin. Panggil saja Yasmin,” ujar Yasmin sambil menghulurkan tangan untuk bersalaman. Bibirnya merekah dengan senyuman.

                Farah  lantas bangun lalu menghempas FIFI ke lantai. Dia menghampiri Yasmin lantas berkata, “Aku Tengku Farah .” Lantas dia terus turun dari rumah pokok tersebut tanpa menghiraukan tangan yang dihulur Yasmin
               
                 "Masa bila nama kau ada 'Tengku' ha, Farah?" soal Raizal.

                 Farah tidak mengendahkan mereka berdua. Dia terus turun dari rumah pokoknya. 
              
                “Kenapa dengan dia? Dia tak suka saya datang sini ke?” soal Yasmin.

                “Eh, tak adalah. Dia gaduh dengan mak dia tu…” ujar Raizal. Selamba.

                Di bawah rumah pokok, Farah  terdengar sembang-borak Raizal dan Yasmin. Dia mendengar Yasmin bertanyakan soal FIFI. Raizal pula dengan senang hati memberi keizinan untuk Yasmin membaca dan melihat seluruh isinya. Pedih rasanya hati Farah .

                “Raizal…. Kau dah lupa janji kau, Raizal. FIFI hanya untuk kita saja,” jerih hati Farah.

                Tatkala dia mendengar hilai tawa Raizal dan Yasmin, perasaan geramnya membuak-buak. Dia menutup telinga lantas berlari pulang ke rumah dengan linangan air mata yang mengalir.

rumah pokok (episod 2) - karya sendiri =)


RUMAH POKOK
[episod 2]
“… dulu hari-hari ku berwarna-warni
kini kian mendung… ia tinggal satu memori…”



Pagi itu terasa nyaman sekali. Udara kampung segar menghembus. Raizal mengayuh basikalnya ke rumah Farah  untuk diajak bermain bersama. Kini mereka sudah menjangkau ke usia sepuluh tahun. Raizal juga sudah pandai membaca serta menulis. Kerja sekolah mereka pun selalu disiapkan bersama.

 Ketika sedang dia mengayuh basikal di pinggir sawah padi yang menguning, Raizal berselisih dengan sebuah lori diikuti dengan kereta berjenama Volvo. Di dalam kereta itu kelihatan seorang lelaki yang umurnya lebih kurang 30-an sedang membaca surat khabar di tempat duduk belakang.

Tanpa disangka-sangka, kereta tersebut tersangkut di dalam lecak. Enjinnya masih hidup tapi kereta itu tidak dapat bergerak. Tayarnya tenggelam di dalam selut. Seorang pemandu keluar daripada kereta tersebut. Raizal yang sedang mengayuh basikal itu dipanggilnya.

Raizal berpatah balik.

“Adik tahu  di mana rumah Pak Sudin?” soal Pak Rahman.

“Tahu pakcik… rumah batu itu kan? Rumah tu jauh ke dalam lagi pakcik,” terang Raizal.

Seorang lelaki yang tadinya membaca surat khabar di dalam kereta berkenaan membuka pintu lalu keluar.
                “Kenapa Pak Man? Rosakkah?” soal Engku Zaquan.

                “Tidak, Engku. Cuma tersangkut di dalam selut saja. Kita kena tolak kereta ni beramai-ramai, baru boleh keluar dari selut ini,” balas Pak Rahman.

“Oh.. Kalau macam tu, biar saya panggilkan ayah kawan saya untuk tolong sekali. Rumah dia tak jauh. Di hujung sawah ini saja,” balas Raizal.

                “Ya.. bagus! Pergi minta tolong pada dia ya!” ujar Engku Zaquan. Hatinya tersenyum lega.

                Raizal mengayuh basikal secepat mungkin dan memanggil bapa Farah, Pak Saad. Pak Saad yang mendengar Raizal meminta bantuan itu terus datang membantu. Farah  juga turut ikut serta.

                Setiba di kereta Volvo yang tersangkut tadi, Pak Saad bersalaman dengan Engku Zaquan. Mereka berkenalan sebentar. Engku Zaquan mengatakan yang dia bersama anaknya baru sahaja berpindah ke kampung ini bagi memenuhi wasiat arwah ayahnya untuk mempertuankan banglo mereka yang selama ini dijaga oleh Pak Sudin, salah seorang penduduk kampung itu juga.     

                Engku Zaquan pergi membuka pintu keretanya. Farah  melihat dia seperti bercakap dengan seseorang di dalam kereta tapi tidak diketahuinya siapa. Tidak lama kemudian, seorang anak gadis bergaun putih keluar dari perut kereta. Rambutnya ditocangkan dengan reben berpokodot merah putih. Ditangannya pula ada seekor anak patung beruang berwarna coklat cerah.

                Raizal juga turut melihat anak gadis yang hampir seusia dengannya itu. Dirinya terpaku. Anak gadis itu menguntum senyuman. “Comelnya dia…” bisik hati Raizal. Dia juga tersenyum melihat gadis secomel itu.

                Farah  hanya memerhatikan mereka berdua. Dia seakan-akan dapat menghidu bunga-bunga cinta yang mekar dan berterbangan di sana-sini. Ada bait-bait cemburu di hatinya. “Gedik…!” gumal hati Farah . Menyampah dia melihat anak Engku Zaquan itu.

                “Kenalkan… ni satu-satunya anak saya, Engku Yasmin,” ujar Engku Zaquan. Yasmin tersenyum sambil memeluk erat anak patung beruangnya sambil memandang Raizal.

Saturday 15 October 2011

graduan sekolah....

assalamualaikum..

hai.. penatnya hari ni...
panas memang terik.. haha.. apa punya BM aku pakai..
agaknya dah biol kot kepala nih..

tadi aku baru balik dari majlis graduasi sekolah aku..
hhusss... serius aku cakap, ayam yang dihidangkan memang sedap!
tapi asal sampai kat aku je, tinggal 3-4 ketul..
kureng betul.. yang tinggal tu kecik2 je..
kalau ikutkan hati aku, memang aku nak rembat je dua ketul,
tapi nanti orang belakang tak dapat lah pulakkan..

ok.. ni ada sedikit gambar yang sempat aku ambik tadi...


























OK FINISH!!!

habis sudah pasal graduasi...
hahai... kenal tak aku yang mana satu??
aku yang pakai tudung hitam coklat tu...
thanks to farah anis sebab ajarkan cara2 pakai tudung gi tu..
seriusly aku cakap, tu lah first time aku pakai tudung macam tu...
lawa tak?? hahahaa... ~gila...

ok ok ok.. aku nak out dulu..
wasalam... xD